Pusat Sumber Institut Sosial Malaysia ditubuhkan pada tahun 2002 selari dengan penubuhan Institut Sosial Malaysia (ISM). Unit Pusat Sumber merupakan salah satu unit di bawah Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP). Pusat Sumber ditubuhkan bagi menyokong kemudahan penyelidikan, pembelajaran, rujukan dan latihan yang dianjurkan oleh ISM.  Pusat Sumber berperanan menyediakan pelbagai koleksi bahan rujukan serta bahan penyelidikan khususnya dalam bidang kerja sosial kepada semua pegawai dan kakitangan ISM serta kepada peserta kursus yang berkhidmat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan agensi-agensi di bawahnya.

Visi

Menjadi pusat rujukan ilmu dan maklumat berkaitan bidang latihan, penyelidikan dan pembangunan kerja sosial.

Misi

Menyediakan sumber maklumat dan penyampaian perkhidmatan Pusat Sumber yang berkualiti dan cekap serta menjadi penggerak memupuk budaya membaca di kalangan warga jabatan.


Fungsi

  • Membangunkan, mendokumentasi dan menyelenggara bahan-bahan Pusat Sumber.
  • Menyediakan sumber rujukan berkaitan bidang latihan, penyelidikan dan pembangunan kerja sosial.
  • Menyediakan perkhidmatan sirkulasi, rujukan dan kesedaran semasa.
  • Merancang, menyelaras dan melaksanakan program galakan membaca dan aktiviti pembudayaan ilmu.


Peraturan

  1. Pengguna adalah tertakluk kepada Peraturan Am Pusat Sumber ISM.
  2. Pengguna diwajibkan berpakaian kemas dan sopan serta berkelakuan baik semasa berada di dalam pusat sumber.
  3. Pengguna yang terdiri daripada pelajar IPTA/ IPTS atau dari organisasi luar yang lain dikehendaki membawa bersama surat pengesahan dari Fakulti/ Universiti/ Institusi/ Organisasi masing-masing sebagai bukti untuk membuat rujukan di Pusat Sumber ISM.
  4. Pengguna mestilah mematuhi setiap peraturan tambahan yang ditetapkan ketika menggunakan perkhidmatan atau kemudahan pusat sumber seperti perkhidmatan komputer dan sebagainya.
  5. Pihak Pusat Sumber ISM tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan dan kerosakan barangan milik pengguna semasa berada di dalam Pusat Sumber ISM.
  6. Pengguna haruslah mengembalikan bahan yang telah digunakan ke troli buku khas yang disediakan dan memastikan tiada sebarang bahan ditinggalkan di atas meja.
  7. Telefon bimbit atau sebarang peralatan elektronik perlu ditetapkan dalam mod senyap.
  8. Sebarang bunyi yang tidak munasabah, perbualan yang kuat, panggilan telefon bimbit kuat atau bermain muzik atau video yang kuat adalah tidak dibenarkan.
  9. Dilarang merokok, makan dan minum semasa berada di dalam Pusat Sumber ISM.
  10. Dilarang membawa masuk beg dan payung ke dalam pusat sumber. Sila simpan di rak penyimpanan/ loker yang disediakan dan pengguna dinasihatkan agar tidak meninggalkan barangan berharga di rak penyimpanan/ loker.
  11. Dilarang berbual atau berbuat bising dan mengganggu ketenteraman pengguna lain di dalam pusat sumber. Pengguna yang berbuat demikian boleh diarahkan meninggalkan pusat sumber.
  12. Dilarang membawa dan memindahkan bahan dari satu koleksi ke koleksi yang lain.
  13. Dilarang membuang sampah merata-rata.
  14. Pihak Pusat Sumber ISM berhak menegur dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pengguna yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
  15. Pihak Pusat Sumber ISM berhak untuk memeriksa beg atau harta peribadi lain apabila pengguna memasuki atau meninggalkan pusat sumber.
  16. Peraturan Am Pusat Sumber ISM tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa.


Waktu Perkhidmatan

HARIMASA
Isnin - Khamis8.00 pagi – 1.00 tengah hari
2.00 petang – 5.00 petang
* Ditutup pada jam 1.00 tengah hari – 2.00 petang
Jumaat8.00 pagi – 12.15 tengah hari
2.45 petang – 5.00 petang
* Ditutup pada jam 12.15 tengah hari – 2.45 petang
Sabtu, Ahad & Cuti Kelepasan AmTUTUP