603-6126 5800 [email protected]

MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

Pemacu Perbandaran Berdaya Huni Ke Arah Status Bandaraya Pada 2030

Berita

 [PROGRAM AHLI MAJLIS @JKP ZON] - TUAN HJ. MUHAMMAD NAJMI
[PROGRAM AHLI MAJLIS @JKP ZON] - TUAN HJ. MUHAMMAD NAJMI

Program Ceria Kembali Ke Sekolah 2025 anjuran Jawatankuasa Penduduk Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang telah diadakan pada 22 Februari 2025 bertempat di Dewan Komuniti MPS, Taman Industri Bolton, Batu Caves.

Program ini bertujuan untuk memberikan semangat baru dan sokongan moral kepada pelajar-pelajar yang akan memulakan tahun persekolahan 2025 serta memastikan mereka memulakan sesi persekolahan dengan persiapan yang lengkap.

Setiap pelajar yang hadir telah menerima set beg sekolah dan alat tulis sumbangan daripada pihak JKP Zon 9 MPS. Sumbangan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah dan memberikan pelajar persiapan yang lebih baik untuk tahun baru persekolahan.

Tahniah kepada Tuan Haji Muhammad Najmi atas sumbangan ini. Semoga program ini dapat memberi manfaat yang sebaiknya kepada pelajar dan ibu bapa.

[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKPZON] - TN. HJ. MUHAMMAD NAJMI
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKPZON] - TN. HJ. MUHAMMAD NAJMI

Tuan Haji Muhammad Najmi bin Samsudin, Ahli Majlis MPS dengan kerjasama JKP Zon 9 telah menganjurkan Bengkel Asas Seni Gubahan Bunga Orkid Artificial pada 22 Februari 2025 bertempat di Dewan Komuniti MPS Taman Industri Bolton.

Bengkel yang disertai seramai 30 orang ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kemahiran kepada peserta mengenai seni gubahan bunga orkid artificial di mana mereka telah diberi tunjuk ajar tentang teknik asas menggubah bunga yang menarik dan estetik. Para peserta belajar cara-cara memilih bahan gubahan yang sesuai, memotong dan menggabungkan bunga untuk menghasilkan hasil gubahan yang menarik.

Selain itu, bengkel ini juga menjadi platform untuk mengasah kreativiti dan mewujudkan peluang perniagaan bagi mereka yang berminat dalam seni gubahan bunga. Setiap peserta berpeluang untuk membawa pulang hasil gubahan mereka sebagai tanda pencapaian dalam bengkel tersebut.

Tahniah diucapkan kepada Tuan Hj. Muhammad Najmi di atas penganjuran ini dan semoga ianya dapat menambahkan ilmu pengetahuan peserta dan dapat dipraktikkan sebagai salah satu inisiatif untuk menjana pendapatan.

[PROGRAM AHLI MAJLIS @  JKP ZON] - TUAN HJ. SULAIMAN
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN HJ. SULAIMAN

Jawatankuasa Penduduk Zon 14 dengan kerjasama JPKK Kampung Melayu, Batu 16, Rawang telah menganjurkan Program Gotong-royong membersihkan dan menurap tapak bazar Ramadan pada 22 hingga 28 Februari 2025.

Program ini diadakan bagi persediaan menyambut bulan Ramadan yang akan tiba serta bertujuan untuk memudahkan para peniaga dan pengunjung untuk berjual beli juadah di tapak bazar.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Sulaiman di atas penganjuran ini. Semoga usaha bersama ini menjadi amal jariah dan mendapat keberkatan dalam menyambut Ramadan yang bakal kunjung tiba.

[PROGRAM AHLI MAJLIS @  JKP ZON] - TUAN HAJI MAZLAN
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN HAJI MAZLAN

Tuan Haji Mazlan bin Musa, Ahli Majlis MPS menyantuni salah seorang penduduk dari kawasan Zon 3 yang mengalami lumpuh anggota badan.

Sumbangan barangan asas keperluan harian juga diberikan bagi meringankan sedikit beban kepada keluarga.

Tuan Haji Mazlan turut berkesempatan menyerahkan barangan keperluan sempena menyambut Ramadan kepada penduduk kawasan Zon 3 dan Maahad Tahfiz Abu Qasim, Kampung Changkat.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Mazlan dan pihak yang terlibat dalam memberi sumbangan. Semoga sedikit sumbangan ini dapat membantu penduduk khususnya golongan yang kurang berkemampuan sekaligus memberi keceriaan kepada komuniti itu dalam menyambut Ramadan.

[PROGRAM AHLI MAJLIS @  JKP ZON] - PUAN P. MARIAMMAL
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - PUAN P. MARIAMMAL

Puan P. Mariammal a/p S. Ponussamy, Ahli Majlis MPS dan JKP Zon 17 telah menganjurkan Program Gotong-royong bersama Persatuan Penduduk Taman Camellia Saujana Rawang pada 22 Februari 2025.

Seramai 80 orang penduduk di kawasan Taman Camellia yang turut serta dalam program ini. Penganjuran program ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang lebih bersih, selesa dan lestari bagi penduduk setempat.

Inisiatif ini menjadi bukti bahawa keharmonian dalam masyarakat majmuk dapat dicapai melalui tindakan kecil yang dilakukan dengan hati yang besar.

Tahniah diucapkan kepada Ahli Majlis dan JKP Zon. Semoga dengan usaha dan program yang diadakan ini, dapat mengeratkan lagi hubungan baik bersama penduduk setempat.

OPERASI BERSEPADU BANTERAS PERCETAKAN HARAM BERJAYA DILAKSANAKAN
OPERASI BERSEPADU BANTERAS PERCETAKAN HARAM BERJAYA DILAKSANAKAN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri Selangor, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), telah berjaya melaksanakan operasi bersepadu pada 21 Februari 2025 bagi membanteras aktiviti percetakan tanpa lesen di sekitar Sungai Buloh.

Operasi yang bermula pada jam 4:00 petang itu melibatkan 15 anggota MPS dan 8 pegawai KDN, bertujuan memastikan pematuhan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran tegas kepada mana-mana premis yang menjalankan percetakan haram tanpa kelulusan sah.

TAKLIMAT BAZAR RAMADAN 2025
TAKLIMAT BAZAR RAMADAN 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan Taklimat Bazar Ramadan 2025 pada 19 Februari 2025 di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak. Tujuan taklimat ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pengelola dan peniaga tentang pengurusan bazar yang lebih tersusun dan selamat.

Taklimat ini merangkumi aspek kebersihan, keselamatan makanan, penguatkuasaan peraturan, serta pengurusan sisa pepejal untuk memastikan kelancaran operasi bazar sepanjang bulan Ramadan.

Taklimat turut disertai oleh wakil-wakil dari Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS, serta Pejabat Kesihatan Daerah Gombak dan Menteri Besar Selangor (Perbadanan) MBI.

MPS berharap taklimat ini dapat membantu peniaga mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan memastikan bazar Ramadan tahun ini lebih tersusun, bersih, dan selamat untuk semua.

LAWATAN JABATAN KESIHATAN & ALAM SEKITAR  (DBKL) KE JPSPK (MPS)
LAWATAN JABATAN KESIHATAN & ALAM SEKITAR (DBKL) KE JPSPK (MPS)

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima lawatan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 19 Februari 2025.

Lawatan seramai enam orang yang diketuai oleh TPK Dr. Nor Halizam binti Ismail ini bertujuan untuk melihat skop pembersihan perangkap minyak berpusat (CGT) menggunakan lori ‘suction & jetter’ oleh kontraktor serta kaedah pemantauan penyelenggaraan oleh jabatan. Taklimat mengenai tatacara pengurusan di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS telah turut disampaikan oleh Pengarah, TS Hairudin bin Daud.

Semoga lawatan kerja ini dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan pada masa akan datang.

KEMPEN DERMA DARAH
KEMPEN DERMA DARAH

Kempen Derma Darah anjuran ANULAE Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Pusat Darah Negara telah berlangsung pada 18 Februari 2025 di Lobi Menara MPS dari jam 8.00 pagi hingga 2.30 petang. 

Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan MPS serta orang awam yang hadir menderma darah demi membantu mereka yang memerlukan. Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS tidak ketinggalan mengambil peluang menderma darah sebagai tanda sokongan kepada kempen ini. Turut hadir memberikan sokongan ialah Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. 

MPS mengucapkan terima kasih kepada 131 orang penderma darah yang mengambil bahagian sepanjang majlis ini berlangsung. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah.

[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN SAHARUDIN
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN SAHARUDIN

Program Anti Buli di Sekolah yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 19 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 18 Februari 2025 yang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Seri Kundang, Rawang. Program ini bertujuan membanteras gejala buli dalam kalangan murid-murid serta memberi pendedahan tentang metodologi pengurusan buli dan penambahbaikan berterusan sebagai amalan di sekolah-sekolah. Ceramah disampaikan oleh pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak, dan Pesuruhjaya SUHAKAM.

Tahniah diucapkan kepada Tuan Saharudin bin Abu Bakar; Ahli Majlis MPS, atas kejayaan program yang dianjurkan. Semoga ianya bermanfaat dan mampu membasmi kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.