Paradigma Sosial

Majalah separa akademik ini memuatkan artikel berkaitan isu-isu sosial yang berlaku dalam persekitaran masyarakat. Majalah ini diterbitkan secara berkala setahun sekali. Penerbitan ini mencerminkan kepelbagaian pandangan dan perspektif dari ahli akademik, pemimpin masyarakat, pengamal industri dan individu dalam memberikan sumbangan bermakna kepada pembaca untuk memahami serta menangani isu-isu sosial yang kompleks dalam konteks semasa. 

Menjunjung Legasi Kepimpinan Wanita KPWKM

Buku Menjunjung Legasi Kepimpinan Wanita KPWKM merakam sumbangan tujuh KSU wanita yang memimpin KPWKM. Setiap pemimpin ini memiliki aura dan gaya kepimpinan tersendiri, meneruskan perjuangan demi kesejahteraan masyarakat, terutama kumpulan sasar kementerian. Buku ini menghargai usaha mereka dalam mengangkat martabat wanita, memperjuangkan hak kanak-kanak, warga emas dan OKU serta memastikan kesejahteraan keluarga. Bermula dengan KSU pertama legasi ini diteruskan oleh pemimpin seterusnya menjadi lambang kepimpinan wanita yang membanggakan negara.

Paradigma Sosial

Tahun 2023 berlaku sebuah transformasi dalam arus perdana. Misi Malaysia Rahmah dan Malaysia MADANI terus disemarakkan agar mengakar dalam setiap rangka fikir dan tindak kerja bukan hanya dalam kalangan penjawat awam namun turut menuntut setiap individu untuk memahami dan mengamalkannya dalam setiap tindakan agar menjadi normalisasi setiap hari. Konsep MADANI, M-Kemampanan, A-Kesejahteraan, D-Daya Cipta, A- Hormat, N-Keyakinan dan I- Ihsan. Majalah Paradigma kali ini juga turut menyajikan artikel isu rasuah, isu belia serta memperkasa kebajikan rakyat dalam Malaysia Madani.

Buku Tiada Yang Mustahil Edisi 3: Keusahawanan OKU - Genggam Bara Api Biar Sampai Jadi Arang

Kekurangan fizikal berstatus orang kurang upaya (OKU) ini membataskan tahap keupayaan individu yang diuji Allah dengan kekurangan fizikal yang diceritakan dalam buku ini. Apabila situasi sebegini dialami, mereka mulai memisahkan diri daripada berinteraksi dengan individu bukan OKU lain dek kerana lebih dimonopoli perasaan rendah diri yang menebal dalam diri. Sungguhpun begitu, kejayaan seseorang adalah terhasil daripada usaha, perancangan, sokongan serta doa dan tawakal. Sesuatu yang mustahil, boleh berlaku dengan izinNya jua.

Laporan Tahunan ISM 2022

Penerbitan ini merupakan medium untuk melaporkan aktiviti dan program yang telah dilaksanakan setahun yang lalu di ISM. Laporan ini diterbitkan setahun sekali, dan juga bertujuan untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai prestasi, pencapaian, dan keadaan kewangan ISM sepanjang tahun tersebut.

Wanita Bangkit

Pandemik Covid-19 mendatangkan cabaran baharu untuk setiap individu. Tidak terkecuali, para wanita yang hidupnya tenang menguruskan keperluan keluarga, mendadak diuji dengan kematian suami akibat wabak. Tidak terlupakan, wanita yang diuji dengan penceraian, kehilangan pekerjaan, ataupun diberi dugaan kesihatan pada ketika wabak itu melanda dunia. Sekalipun ditekan dengan hidup yang keras, wanita-wanita ini memilih untuk berdegil dan bangkit melawan. Tangisan mereka hanya seketika, kerana ada mulut yang perlu disuap, ada keluarga yang perlu dibela dan ada tanggungjawab untuk digalas.

Prosiding Kolokium / Persidangan

Prosiding Kolokium Penyelidikan ISM mengumpulkan hasil daripada siri kolokium yang diadakan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) untuk membincangkan isu-isu sosial terkini melalui kajian dan penyelidikan mendalam. Kolokium ini bertujuan untuk menghubungkan pengamal kerja sosial, ahli akademik dan pakar sosial dalam satu ruang perbincangan ilmiah yang memperkasa dasar-dasar sosial serta perancangan program baharu.

Prosiding Persidangan Kerja Sosial Kebangsaan Kali Kedua

Prosiding ini merupakan himpunan kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Kerja Sosial Kebangsaan Kedua 2023 yang berlangsung pada 13 dan 14 September 2023 di Institut Sosial Malaysia anjuran Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia dan Institut Sosial Malaysia. Persidangan ini merupakan persidangan kali kedua yang dianjurkan oleh SAPSP berkaitan kerja sosial dan isu-isu sosial semasa.