Berita

LAFAZ ANGKAT SUMPAH AHLI MAJLIS LANTIKAN BAHARU
Sekitar Majlis Lafaz Akuan Terima Jawatan Ahli Majlis MPS yang telah berlangsung pada 25 April 2024 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.
Lantikan ini menyaksikan 2 orang Ahli Majlis Baharu, Tuan Haji Muhammad Najmi bin Samsudin dan Tuan Megat Mohd Fadhli bin Zakaria yang telah mengangkat sumpah di hadapan Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Turut hadir dalam mesyuarat ini Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS, Ahli-Ahli Majlis MPS dan pengarah-pengarah jabatan MPS.

OPERASI ADUAN POKOK TUMBANG
Unit PANTAS MPS telah menerima 5 aduan pokok tumbang ekoran hujan lebat dan angin kencang petang semalam di kawasan Selayang, Kepong dan Kuang. Lokasi yang terlibat adalah Persiaran 3, SMK Taman Ehsan, Jalan E 3/10 Taman Ehsan, Lorong Orkid Kuang dan Jalan SJ 13, Taman Selayang Indah.
Seramai 12 orang anggota Unit PANTAS telah tiba di lokasi kejadian pada jam 4:40 petang untuk melakukan kerja-kerja pemotongan pokok dan pembersihan yang menghalang laluan. Kerja-kerja ini telah tamat pada jam 11:30 malam.
Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati serta sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa. Sila laporkan bencana yang berlaku di sekitar kawasan anda kepada pihak berkuasa.

JOM MEMBACA
Terima kasih kepada semua warga MPS yang telah menyertai dan menyokong program “Jom Baca Bersama 10 Minit” yang diadakan serentak di seluruh negara pada 23 April 2024, Selasa pada jam 11:00 pagi hingga 11:10 pagi.
Semoga program ini dapat mempertingkatkan budaya membaca ke arah membentuk masyarakat yang minat membaca.
Luangkan masa membaca tidak kira di mana anda berada!

MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT PEMANGKUAN PANGKAT
Majlis Penyampaian Surat Pemangkuan Pangkat dan Pelantikan Sebagai Pengarah telah diadakan pada 5 April 2024.
Sesi penyerahan surat pelantikan ini telah disempurnakan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Pn. Zuriati binti Karia sebagai Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat berkuatkuasa pada 2 Mei 2024. Semoga dengan pelantikan ini akan meningkatkan lagi mutu kerja dan memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada MPS.

MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT KENAIKAN PANGKAT
Sekitar Majlis Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat yang telah diadakan pada 5 April 2024.
Sesi Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat ini melibatkan 7 orang kakitangan MPS telah disempurnakan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS dengan disaksikan oleh Puan Mazurah binti Mohamed, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MPS.
Sekalung tahniah dan syabas diucapkan. Semoga dengan pelantikan ini akan memberi inspirasi kepada semua warga Majlis Perbandaran Selayang untuk terus berusaha dengan gigih dalam melaksanakan tugas dan amanah yang telah diberikan.

LAWATAN PERSATUAN PENDUDUK TAMAN MUTIARA GOMBAK 1
MPS telah menerima lawatan dari Persatuan Penduduk Taman Mutiara Gombak 1 pada 5 April 2024.
Lawatan kunjung hormat ini disertai oleh 6 orang wakil penduduk yang diketuai oleh Tuan Ir. Wan Azhari bin Wan Ab Rahman, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mutiara Gombak 1 dan disambut oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Tujuan sesi perjumpaan ini diadakan adalah bagi membincangkan permasalahan dan isu berbangkit di kawasan kediaman mereka yang perlukan perhatian dan tindakan daripada MPS, disamping mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara persatuan penduduk dan MPS.
Turut hadir dalam perjumpaan ini Encik Mohamad Zin bin Masoad, Pengarah Jabatan Korporat; Tuan Ir. Hj. Shaiful Nor Aidil bin Mohd Jaya, Pengarah Jabatan Kejuruteraan; Puan Norhayati binti Ahmad, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan; dan Tuan LAr. Mokhtar Affandi bin Adul Ghani, Pengarah Jabatan Landskap.

PROGRAM SINGGAH SAHUR 2024
Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengedarkan sejumlah 300 pek juadah sahur kepada petugas barisan hadapan agensi kerajaan di sekitar Daerah Gombak pada awal pagi tadi. Konvoi yang diketuai oleh Timbalan
Yang Dipertua MPS, Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi dan disertai oleh seramai 15 orang kakitangan MPS ini memulakan edaran sumbangan seawal pukul 12.00 pagi.
Antara agensi kerajaan yang menerima sumbangan ini adalah Unit Kecemasan Hospital Selayang, Unit Kecemasan Hospital Sg. Buloh, Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Baru Selayang, Balai Bomba Dan Penyelamat Rawang, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan Balai Polis Rawang. Selain daripada berkongsi rezeki pek juadah bersahur, kunjungan ini juga turut menyampaikan sumbangan kurma dan hamper kepada setiap agensi yang disantuni.
Program yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh MPS melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat yang berkolaborasi bersama Kelab Sukan dan Kebajikan MPS (KSDK), Anulae cawangan Selayang dan AKRAB MPS.
MPS berharap dengan penganjuran program ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi silaturahim antara MPS bersama agensi dan secara tidak langsung dapat menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang banyak berjasa menyumbang kepada negara.

PROGRAM QURAN HOUR
Majlis Perbandaran Selayang telah melaksanakan Program Quran Hour pada 4 April 2024 bertempat di Surau, Tingkat 8, Menara MPS.
Dengan mengangkat tema "Ummah #GrandReset: Kesatuan dan Transformasi Sosial", Surah Al-Jumu'ah telah dipilih dan dibaca secara serentak di seluruh Malaysia.
Bacaan surah dan taddabur sempena Quran Hour di MPS telah diketuai oleh Prof. Madya Dr. Saupi bin Man.
Turut hadir Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS, Pengarah Jabatan dan kakitangan MPS.

JUALAN AGRO MADANI (FAMA)
Jualan Agro Madani anjuran ANULAE Cawangan MPS bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah diadakan pada 4 April 2024 bertempat di Perkarangan Tapak Parkir Menara MPS.
Pengunjung yang hadir telah berpeluang menikmati jualan istimewa bagi produk Industri Kecil Sederhana (IKS), jualan buah-buahan dan pelbagai makanan sempena Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS dan Puan Ruzani Sohot, Pengerusi ANULAE Cawangan MPS turut berkesempatan meninjau tapak-tapak jualan tersebut.

MAJLIS CERAMAH AMBANG SYAWAL 1445H
Majlis Ceramah Ambang Syawal 1445H anjuran Anulae MPS dengan kerjasama KSDK MPS telah diadakan pada 4 April 2024 bertempat di Lobi Menara MPS.
Ceramah Ambang Syawal bertajuk "Anugerah Syawal Seindah Ramadan" ini telah disampaikan oleh Al Fathil Ustaz Syed Putra Haizam. Turut hadir Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS, pengarah-pengarah Jabatan dan Kakitangan Majlis Perbandaran Selayang.