Berita

PEMERIKSAAN GIGI KANAK-KANAK TASKA MPS
Majlis Perbandaran Selayang telah menerima kunjungan dari Klinik Kesihatan Pergigian Rawang bagi pemeriksaan gigi kanak-kanak taska MPS pada 5 Mac 2024. Program ini telah melibatkan seramai 15 orang kanak-kanak MPS dan pegawai dari Jabatan Khidmat Pengurusan, MPS.
Semoga program ini dapat memberikan banyak manfaat dan ilmu pengetahuan tentang penjagaan gigi dari peringkat awal.
|
|

PROGRAM GOTONG ROYONG
Ahli Majlis MPS, Puan Alice Choo Foong Thye dan JKP Zon 15 telah menganjurkan Program gotong-royong yang diadakan pada 3 Mac 2024 bertempat di Kampung Melayu, Pekan Rawang dan Surau Al Hidayah Taman Bukit Rawang Jaya.
Objektif program ini adalah untuk mencapai persekitaran yang bersih dan sihat serta memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan dan mencegah wabak denggi.
Turut diadakan sumbangan kanopi baru bagi menggantikan kanopi yang lama dan rosak kepada Surau Al Hidayah.
Ahli Majlis dan JKP Zon 15 turut berkesempatan melawat Kebun Komuniti di Kampung Melayu, Pekan Rawang. Kebun komuniti ini memberi peluang kepada suri rumah kejiranan tersebut untuk menjana pendapatan tambahan bagi menangani kos sara hidup.
Turut hadir ke program ini YB Tuan Chua Wei Kiat, ADUN Rawang, wakil Surau Al Hidayah serta wakil Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.
Tahniah diucapkan kepada Ahli Majlis dan JKP Zon. Semoga dengan usaha dan program yang diadakan ini, dapat mengeratkan lagi hubungan baik bersama penduduk setempat.
|
|

PERTANDINGAN BOLA SEPAK
Buat julung kalinya, Ahli Majlis MPS dan JKP Zon 12 telah menganjurkan Pertandingan Bola Sepak pada 2 Mac 2024.
Pusingan awal perlawanan ini telah diadakan di Padang Sekolah Selayang Utama yang melibatkan 8 pasukan. Manakala pusingan akhir pula telah diadakan di Stadium MPS Bandar Baru Selayang.
Pada perlawanan akhir, kumpulan Nano Tech A telah dinobatkan sebagai Johan manakala kumpulan JKP Zon 12 dinobatkan sebagai naib johan dengan keputusan perlawanan melalui sepakan penalti 5-3.
Kumpulan Bintang Gombak yang bertemu Bidara FC telah memenangi tempat ketiga dengan keputusan sepakan penalti 4-2.
Tahniah diucapkan kepasa Tuan U Chin Ong, Ahli Majlis MPS dan JKP Zon 12 diatas penganjuran program ini.

KARNIVAL SELAYANGKU SAYANG
Lebih 500 orang telah hadir di Majlis perasmian Karnival Selayangku Sayang yang telah disempurnakan oleh YB Puan Anfaal binti Shaari EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.
Pada karnival ini, MPS telah menyampaikan pemberian baucar bantuan sebanyak RM200 kepada 50 orang penerima. Turut hadir Tuan Adi Faizal Ahmad Tarmizi, TYDP MPS, YB Pua Pei Ling, ADN Bukit Lanjan dan Dato’ Mohd. Yazid Sairi, Timbalan SUK (Pengurusan), Negeri Selangor.
Program ini adalah anjuran bersama Menteri Besar Selangor (MBI) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sri Ternak Food Mart, Adabi Consumer Industries, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Karnival ini berobjektif membantu masyarakat terutama golongan sasar yang memerlukan melalui jualan murah keperluan asas dan barang kelengkapan sekolah selain pemberian sayur 500kg kepada 500 pengunjung secara percuma.
Turut diadakan pertandingan sukan rakyat, Raja Buskers, kaunter pendaftaran PADU, Kaunter Perkeso dan aktiviti-aktiviti sampingan yang lain.
|
|

PERHIMPUNAN BULAN FEBRUARI
YBrs. Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Di Pertua MPS pada hari ini menzahirkan rasa bangga beliau di atas pencapaian MPS dalam ucapannya di Perhimpunan Bulanan Peringkat MPS bertempat di Lobi, Menara MPS pada 28 Februari 2024.
Pada majlis ini telah diadakan sesi penyampaian hadiah bagi kecemerlangan HRMIS MPS, penyampaian sijil bagi peserta Kursus Penyelamat Akuatik Malaysia, penyampaian hadiah untuk acara Boling Berpasukan Karnival Sukan (KSDK) dan pelancaran Program Ihya Ramadhan serta Program Ibadah Korban MPS yang disempurnakan oleh YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS.
Turut hadir sama barisan Ahli-ahli Majlis, Pengarah Jabatan MPS dan kakitangan MPS.

MESYUARAT MAJLIS BIL.2 2024
Sekitar Mesyuarat Majlis Bil.2/24 yang telah berlangsung pada 28 Februari 2024 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.
Mesyuarat majlis ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS. Turut hadir dalam mesyuarat ini Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS, Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS, Ahli-Ahli Majlis MPS dan pengarah-pengarah jabatan MPS.

MAJLIS MENANDATANGANI SURAT SETUJU TERIMA (SST)
Majlis Menandatangani Surat Setuju Terima (SST) untuk skop perkhidmatan kutipan sisa domestik dan pukal kawasan di bawah pentadbiran MPS telah berlangsung pada 28 Februari 2024 di Lobi Menara MPS. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang bersama YBrs. Dato' Hj. Ramli bin Mohd Tahir, Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan disaksikan YB Dato' Ng Suee Lim, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor.
Pada majlis ini juga telah diadakan penyerahan surat lantikan KDEBWM sebagai kontraktor kutipan sisa industri dan perdagangan serta penyerahan replika kunci sebagai simbolik pelancaran lori kompaktor dengan imej baharu.
KDEBWM akan meneruskan skop perkhidmatan kutipan sisa domestik dan pukal di bawah kontrak baharu ini bermula 16 Mac 2024 dan akan berakhir pada 15 April 2031. Selain itu bermula 1 Mac 2024, semua pemegang lesen industri dan perdagangan di bawah kawasan MPS adalah diwajibkan untuk melantik syarikat KDEBWM untuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal industri dan perdagangan.

LAWATAN MAJLIS BANDARAYA IPOH (MBI) KE MPS
MPS telah menerima pelawat dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 28 Februari 2024. Tujuan lawatan ialah untuk mempelajari isu-isu teknikal dalam pelaksanaan menaiktaraf pangkalan data dan weblogic bagi platform Oracle khususnya bagi Sistem Perakaunan.
Lawatan yang diketuai oleh Tuan Mohd Syazlan bin Mohd Isa Suffian Pengarah Perbendaharaan MBI turut disertai 4 orang pegawai telah disambut oleh Tuan Haji Azhar bin Samsuri, Penolong Setiausaha merangkap Pengarah Jabatan Perbendaharaan MPS.
Pada sesi lawatan ini, pelawat telah diberikan penerangan oleh Puan Zuriati binti Karia, Timbalan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan di sertai oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Teknologi Maklumat MPS.

LAWATAN PROGRAM PEMANTAUAN AUDIT TEKNIKAL
MPS pada hari ini telah menerima Lawatan Program Pemantauan Audit Teknikal Kesihatan Persekitaran Jabatan Kerajaan Tempatan Bagi Tahun 2024.
Lawatan Program Pemantauan Audit Teknikal (PPAT) Kesihatan Persekitaran ini telah diketuai oleh Encik Firdaus Siau bin Abdullah dan Puan Siti Suziana Binti Abd Rashid dari Bahagian Perunding Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kerajaan Tempatan. Sesi pengauditan yang akan berlangsung selama satu (1) hari ini akan melibatkan pemeriksaan dokumen dan juga lawatan di tapak untuk memastikan perlaksanaan kerja dan tahap penyampaian perkhidmatan PBT adalah selaras dengan akta, dasar serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Mesyuarat pembukaan Audit ini telah dipengerusikan oleh En. Mohamad Zin bin Masoad, Pengarah Jabatan Korporat. Turut hadir Puan Norhayati Ahmad, Pengarah Jabatan Sisa Pepejal dan Kesihatan serta pengarah dan pegawai MPS.

LAWATAN ANULAE MAJLIS PERBANDARAN JASIN KE MPS
Majlis Perbandaran Selayang berbesar hati menerima Kunjung Hormat Anulae Cawangan Majlis Perbandaran Jasin ke Majlis Perbandaran Selayang pada 26 Februari 2024.
Lawatan ini disertai oleh 34 orang ahli Anulae Cawangan MP Jasin yang diketuai oleh Setiausaha MPJ, YBrs. En. Muhammad Zahiruddin bin Mohd Zahari dan disambut oleh Timbalan Yang Dipertua MPS, YBrs. Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi.
Pada sesi lawatan ini kedua-dua pihak membincangkan perkara berhubung isu-isu untuk penambahbaikan organisasi selain bertukar-tukar pandangan dan juga pengalaman. Diharapkan dengan lawatan ini akan memberi manfaat dan bimbingan untuk semua pihak.