603-6126 5800 [email protected]

MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

Pemacu Perbandaran Berdaya Huni Ke Arah Status Bandaraya Pada 2030

Berita

 [PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] TN. MAZLAN
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] TN. MAZLAN

SMK Seri Gombak telah mengadakan Program Gotong-royong Perdana 2024 pada 11 Mei 2024 yang telah mendapat kerjasama Tuan Haji Mazlan bin Musa, Ahli Majlis MPS Zon 3, pihak PIBG SMK Seri Gombak dan kakitangan Duta - Ulu Kelang Expressway (DUKE)

Program ini bertujuan meningkatkan tahap kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah serta membudayakan amalan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan. 

Tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Mazlan dan JKP Zon 3 atas kerjasama ini.

 [PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON]
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON]

Tuan Saharudin bin Abu Bakar selaku Ahli Majlis MPS dan JKP Zon 19 telah menyempurnakan sesi “Flag Off” sempena acara konvoi bermotosikal anjuran Penduduk Kundang Jaya dan Surau As-Sidiqqin dari Kundang ke Lumut, Perak pada 11 Mei 2024. Program konvoi bermotosikal ini diadakan bertujuan untuk menyampaikan maklumat berkenaan Tabung Pembinaan Masjid Kundang Jaya.

Sebelum sesi “Flag Off” Ahli Majlis dan JKP Zon 19 telah turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada tabung ini. 

Semoga segala urusan dalam mencapai misi untuk pembinaan Masjid Kundang Jaya ini dipermudahkan .

[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON]
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON]

Sekitar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran JKP Zon 3 dengan kerjasama MPKK Kampung Changkat yang telah berlangsung pada 7 Mei 2024 bertempat di Dewan MPKK Kampung Changkat. 

Seramai 300 orang penduduk telah datang bersama-sama memeriahkan majlis ini sambil menikmati juadah raya yang telah disediakan. Turut diadakan penyerahan duit raya untuk kanak-kanak oleh Tuan Mazlan, Ahli Majlis MPS.

ADUAN POKOK TUMBANG
ADUAN POKOK TUMBANG

Tindakan segera dari Unit PANTAS MPS ke lokasi kejadian pokok tumbang ekoran hujan lebat dan angin kencang di Jalan Utama Rahmat Jaya, Rawang bagi melaksanakan kerja-kerja pemotongan pokok yang tumbang dan pembersihan.

Orang ramai dinasihatkan terus berhati-hati dan melaporkan sebarang kejadian bencana kepada pihak berkuasa.

OPERASI SITAAN PREMIS
OPERASI SITAAN PREMIS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyerbu sebuah premis yang dijadikan pusat hiburan dan kedai makan pada 30 April 2024 di Desa Aman Puri. 

Selain berselindung dalam premis rumah kedai dan menggunakan Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan masuk pelanggan, pengusaha premis turut menggunakan warga asing untuk mengendalikan perniagaan barangan runcit dan pusat karaoke. 

Dalam operasi ini pihak MPS telah menyita sebanyak 51 botol minuman keras, 2 unit televisyen, 4 unit speaker dan 6 unit amplifier. 

Empat kompaun turut dikeluarkan di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007, UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007, dan SEK 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat-Tempat Hiburan 1995. 

MPS akan terus menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.

OPERASI SITA PREMIS YANG MENJALANKAN AKTIVITI PERJUDIAN
OPERASI SITA PREMIS YANG MENJALANKAN AKTIVITI PERJUDIAN

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyerbu dua premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian pada 30 April 2024 di Desa Aman Puri. 

Premis kendalian warga asing yang baru beroperasi selama 1 bulan ini tidak memiliki sebarang lesen perniagaan yang sah daripada MPS.

Sebanyak 48 unit mesin elektronik yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian di kedua-dua premis telah disita selain 7 unit televisyen, 2 unit komputer dan beberapa peralatan lain. 

Tindakan sitaan dibuat di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MPS) 2007 atas kesalahan menjalankan operasi secara haram. 

Operasi yang dijalankan melibatkan seramai 39 orang anggota dan pegawai yang diketuai oleh Tuan Ahmad Faisal bin Badiuzaman, Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS. 

MPS akan terus menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.

RUMAH TERBUKA RIUH RAYA KITA SELANGOR
RUMAH TERBUKA RIUH RAYA KITA SELANGOR

Sekitar suasana meriah dan ceria di Gerai Majlis Perbandaran Selayang di Rumah Terbuka Aidilfitri - Riuh Raya Kita Selangor @ KKB. 

Terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir memberi sokongan dan menikmati juadah Aneka Gorengan yang disediakan seperti goreng pisang, cucur bilis, keledek goreng, keropok lekor, putu bambu dan bermacam lagi. 

Pada majlis rumah terbuka negeri Selangor ini, lebih 40,000 pengunjung dari segenap kaum telah hadir yang turut menampilkan pelbagai juadah lazat, persembahan artis terkenal dan juga pertunjukan bunga api.

Semoga penganjuran Program Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor ini menjadi ruang terbaik mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

MAJLIS MESRA AIDILFITRI 2024
MAJLIS MESRA AIDILFITRI 2024

Suasana cukup meriah pada Majlis Mesra Aidilfitri Warga Kerja MPS 2024 yang disambut pada 26 April 2024 bersamaan 17 Syawal 1445H bertempat di Pekarangan Menara MPS.

Pelbagai juadah telah disajikan menerusi lebih 22 gerai yang dikendalikan sendiri oleh kakitangan-kakitangan dari setiap Jabatan MPS untuk tetamu yang hadir. Turut diadakan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Menghias Pejabat Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024, cabutan bertuah serta penyerahan duit raya untuk kanak-kanak yang telah disempurnakan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS. 

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Kumpulan D'Xoras serta persembahan istimewa daripada Ady WOW, Shafie RIO dan Alina Hassan.

Turut hadir ke majlis ini YBhg. Dato Mohd Yazid bin Sairi, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan); YDH Dato' Paduka Raja Tan Sri Dato' Dr. Hj. Wan Mahmood bin Pa'wan Teh, Dato' Orang Kaya Maha Bijaya Orang Besar Daerah Gombak, Ahli Parlimen, Ahli Dewan  Negeri, YDP PBT Selangor, wakil daripada agensi Daerah Gombak,barisan Ahli Majlis MPS serta wakil-wakil dari agensi kerajaan di Negeri Selangor. 

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir bagi meraikan sambutan Majlis Mesra Aidilfitri MPS 2024.

MESYUARAT BIL. 4 2024
MESYUARAT BIL. 4 2024

Sekitar Mesyuarat Majlis Bil.4/24 yang telah berlangsung pada 25 April 2024 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Mesyuarat majlis ini telah dipengerusikan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS. Turut hadir dalam mesyuarat ini Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS, Ahli-Ahli Majlis MPS dan pengarah-pengarah jabatan MPS.

LAWATAN DARI THU DUC, VIETNAM KE MPS
LAWATAN DARI THU DUC, VIETNAM KE MPS

MPS telah menerima lawatan dari Thu Duc City People's Council, Vietnam pada 25 April 2024.

Kunjungan hormat delegasi Vietnam seramai 18 orang ini diketuai oleh Mr. Mai Huu Quyet, Timbalan Pengerusi Thu Duc City People’s Council dan disambut dengan penuh mesra oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS. 

Lawatan ini bertujuan untuk memahami tentang fungsi MPS sebagai PBT dan juga amalan terbaik yang dilaksanakan. 

Hadir sama dalam pertemuan ini, Ketua Whip, Pengarah-pengarah Jabatan dan Pegawai MPS.