603-6126 5800 [email protected]

MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

Pemacu Perbandaran Berdaya Huni Ke Arah Status Bandaraya Pada 2030

Berita

MPS PRIHATIN TERHADAP MANGSA BANJIR LUMPUR DI BATU ARANG
MPS PRIHATIN TERHADAP MANGSA BANJIR LUMPUR DI BATU ARANG

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyantuni penduduk di Perumahan OC9, Batu Arang, yang terkesan akibat banjir lumpur susulan hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.

Banjir ini telah menjejaskan 10 buah rumah dengan kedalaman lumpur sehingga 4 meter. Kesemua keluarga yang terlibat telah dipindahkan dengan selamat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Batu Arang.

Sesi bantuan ini berlangsung selama dua hari dan turut dihadiri oleh ADUN Rawang, YB Chua Wei Kiat, serta Puan Loo Voon May, Ahli Majlis Zon 18, yang bersama-sama memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa terjejas.

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan, Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jabatan Landskap, Majlis Perbandaran Selayang telah menjalankan pelbagai usaha, termasuk membersihkan kawasan kediaman dan melupuskan barangan yang rosak akibat banjir lumpur.

BENGKEL PENYEDIAAN SENARAI SEMAK PENGGUNAAN AI
BENGKEL PENYEDIAAN SENARAI SEMAK PENGGUNAAN AI

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Perancang Bandar telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Senarai Semak Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) pada 28 Januari 2025 di Dewan Simfoni, Bukit Lagong.

Seramai 40 peserta dari pelbagai jabatan MPS terlibat, termasuk Jabatan Teknologi Maklumat, Jabatan Perlesenan, Jabatan Landskap, dan Jabatan Kejuruteraan.

Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi AI untuk memperbaiki aliran kerja dan meningkatkan kecekapan pentadbiran MPS. Wakil jabatan turut membentangkan perancangan serta pelaksanaan gerak kerja berasaskan AI.

Melalui bengkel ini, diharapkan integrasi teknologi AI dapat mempercepatkan proses pengurusan bandar secara pintar, menyokong visi MPS ke arah membangunkan bandar moden dan mampan.

MESYUARAT MAJLIS Bil.1 2025
MESYUARAT MAJLIS Bil.1 2025

Sekitar Mesyuarat Majlis Bil.1/25 yang telah berlangsung pada 27 Januari 2025 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Mesyuarat majlis ini telah dipengerusikan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Dalam ucapan beliau, Tuan YDP telah berkongsi pencapaian sepanjang tahun 2024 dan mengucapkan terima kasih kepada Ahli Majlis yang sentiasa berkerjasama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan MPS kepada masyarakat.

Turut hadir dalam mesyuarat ini YDH Dato’ Paduka Raja, Tan Sri Dato’ Dr Haji Wan Mahmood bin Pa’Wan Teh; Orang Besar Daerah Gombak, Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi; Timbalan Yang Dipertua MPS, Tuan Haji Az'har bin Samsuri; Penolong Setiausaha MPS, Ahli Majlis MPS dan barisan Pengarah Jabatan MPS.

MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN JANUARI 2025
MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN JANUARI 2025

Majlis Perhimpunan Bulanan MPS dan Amanat Tahun Baharu 2025 yang dihoskan oleh Unit Integriti telah diadakan pada 27 Januari 2025 bertempat di Lobi Menara MPS.

Pada majlis ini telah diadakan tayangan khas amanat daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Penyampaian Sijil Pengiktirafan kepada kumpulan KIK MPS yang telah menyertai Anugerah Inovasi Negeri Selangor Tahun 2024 anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan penyampaian hadiah bagi pasukan Bola Jaring MPS yang telah meraih kemenangan ditempat ketiga dalam Pertandingan Bola Jaring anjuran Kelab Hulu Selangor.

Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS dalam amanatnya, mengharapkan kebersamaan semua warga MPS untuk memberikan komitmen dan sokongan dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan agar aspirasi membawa MPS ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan dapat dicapai.

Turut sama, YDH Dato’ Paduka Raja, Tan Sri Dato’ Dr Haji Wan Mahmood bin Pa’Wan Teh; Orang Besar Daerah Gombak, Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi; Timbalan Yang Dipertua MPS, Ahli Majlis MPS, pengarah jabatan MPS dan kakitangan MPS.

MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2025
MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2025

Tuan Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, telah menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 yang disampaikan oleh YAB Dato' Seri Amirudin bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor, pada 27 Januari 2025 (Isnin) bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

Turut hadir dalam Majlis Amanat ini adalah Yang Berhormat Dato' Setia Haji Haris Bin Kasim; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi; Timbalan Yang Dipertua MPS, dif-dif terhormat, pengarah serta wakil daripada MPS secara bersemuka dan dalam talian.

YAB Dato' Seri Amirudin bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor, telah turut menyampaikan insentif penghargaan kepada jabatan dan agensi pemungut hasil bagi prestasi kutipan hasil tahun 2024 dan melancarkan logo KitaSelangor 2.0.

[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - PUAN P. MARIAMMAL
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - PUAN P. MARIAMMAL

Pengagihan Buah limau Mandarin Sempena Tahun Baru Cina 2025 oleh Puan P.Mariammal a/p S. Ponnusamy kepada pengunjung dan peniaga pasar di Pasar Bandar Country Homes telah diadakan pada 26 Januari 2025.

Sekalung penghargaan kepada semua yang turut serta membantu dan menjayakan program agihan buah limau ini, semoga Tahun Baru Cina tahun 2025 ini dapat memberikan kebahagian dan kemakmuran kepada masyarakat bersama.

 [PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKPZON] - TUAN HAJI MUHAMMAD NAJMI
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKPZON] - TUAN HAJI MUHAMMAD NAJMI

Program Jom Khatan Perdana 2025 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penduduk Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang dengan kerjasama Surau Al-Hijrah Taman Industri Bolton telah diadakan pada 25 Januari 2025. Program ini melibatkan 50 orang kanak-kanak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berusia di bawah 13 tahun.

Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak di Zon 9 MPS untuk menjalani proses khatan dalam suasana yang selesa dan teratur. Program ini tidak hanya berfokus kepada aspek kesihatan tetapi juga memberikan pendedahan mengenai kepentingan khatan dalam agama Islam.

Tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Muhammad Najmi bin Samsudin, Ahli Majlis MPS dan JKP Zon 9 di atas penganjuran ini.

BENGKEL PENCAPAIAN SASARAN KERJA UTAMA (SKU) 2024 DAN PENETAPAN SKU 2025 MPS
BENGKEL PENCAPAIAN SASARAN KERJA UTAMA (SKU) 2024 DAN PENETAPAN SKU 2025 MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Bengkel Pencapaian Sasaran Kerja Utama (SKU) 2024 dan Penetapan SKU 2025 pada 23 hingga 25 Januari 2025 di Hotel Hatten, Melaka.

Bengkel ini diadakan setiap tahun untuk memastikan setiap jabatan merangka perancangan kerja, termasuk program, projek, dan inisiatif sepanjang tahun 2025, yang selaras dengan peruntukan kewangan yang telah diluluskan. Selain itu, bengkel ini bertujuan untuk menilai pencapaian sasaran kerja tahun sebelumnya.

Bengkel ini juga bertujuan memastikan setiap jabatan atau unit melaksanakan projek, program, dan inisiatif yang selari dengan dasar utama Majlis, iaitu Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Rancangan Selangor Pertama (RS-1), dan MPS SMART City 2030.

Sepanjang bengkel berlangsung, semua jabatan berjaya membentangkan pencapaian SKU 2024 serta penetapan SKU 2025. Bengkel ini turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang; YBrs. Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua; para Pengarah Jabatan; Ketua Bahagian; dan Ketua Unit.

Hasil dapatan bengkel ini diharap dapat direalisasikan melalui peningkatan kecekapan dan kualiti perkhidmatan perbandaran yang lebih efisien.

Syabas dan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat.

OPERASI BERSEPADU TINDAKAN KE ATAS WARGA ASING DI KAWASAN MPS
OPERASI BERSEPADU TINDAKAN KE ATAS WARGA ASING DI KAWASAN MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia telah menjalankan operasi serbuan terhadap beberapa buah premis yang dihuni oleh warga asing di sekitar kawasan pentadbiran MPS pada 21 Januari 2025.

Seramai 112 orang anggota telah terlibat dalam operasi ini dan MPS telah mengambil tindakan iaitu 3 sitaan serta 6 kompaun atas kesalahan di bawah akta UUK 3 Undang2 Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007, UUK 27 (2), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPS) 2007 (Meletakkan bahan mentah di atas lantai kurang dari 20 cm), UUK 8(5) Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MPS) 2007 (Tidak memakai topi dan apron), Kompaun UUK 20 Undang-Undang Establisymen Makanan (MPS) 2007 (Melepaskan effluent).

Jabatan Imegresen Malaysia (Putrajaya) juga telah melaksanakan pemeriksaan dan tangkapan sebanyak 20 orang warga asing yang terlibat dalam kegiatan perniagaan tanpa permit.

MPS akan terus menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.

OPERASI SITAAN PREMIS JUAL MERCUN TANPA PERMIT YANG SAH
OPERASI SITAAN PREMIS JUAL MERCUN TANPA PERMIT YANG SAH

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan telah mengadakan operasi sitaan bertempat di Jalan Selayang Jaya 14 dan Jalan Selayang Jaya 4, Taman Selayang Jaya pada 20 Januari 2025. 

Operasi ini melibatkan penjaja yang menjual mercun tanpa permit perniagaan yang sah. Antara barangan yang disita termasuk 10 unit pop pop, 54 unit boom flower, 21 unit boom banana, 69 unit boom pili, 26 unit boom ground, dan 36 unit happy boom. Tindakan sitaan di bawah Akta Undang-undang Kecil Penjaja MPS 2007 (UKK3) telah diambil terhadap penjaja yang gagal mematuhi undang-undang berkenaan permit perniagaan dan penjualan barangan yang dikawal.

MPS ingin mengingatkan semua pemilik perniagaan supaya mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk mengelakkan tindakan tegas diambil.