Berita

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC)
Syabas dan tahniah diucapkan kepada 88 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MPS dan 11 orang pesara MPS tahun 2023.
Majlis APC ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Setia Haji Haris bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 19 Januari 2024 yang lalu bertempat di Templer’s Ballroom, Setia Eco Templer, Rawang.
Majlis ini diadakan bertujuan untuk menyampaikan pengiktirafan kepada kakitangan MPS yang telah mempamerkan mutu kerja dan sumbangan yang cemerlang di sepanjang tahun 2023 serta penyampaian penghargaan kepada para pesara MPS bagi tahun 2023 dan 2024.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Mohd Yazid bin Sairi, YDP MPS; YBrs. Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, TYDP MPS; YDH Dato’ Paduka Raja Tan Sri Dato’ (Dr.) Haji Wan Mahmood bin Pa’wan Teh, Orang Besar Daerah Gombak; YBrs. Puan Nor Azlina binti Abdul Aziz, Pegawai Daerah Gombak; Tuan A. Rahim bin Ahmad Kasdi, Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor; barisan Ahli-Ahli Majlis MPS dan pengarah-pengarah jabatan.

MAJLIS LAFAZ AKUAN TERIMA JAWATAN AHLI MAJLIS MPS
Sekitar Majlis Lafaz Akuan Terima Jawatan Ahli Majlis MPS bagi penggal 2024 hingga 2025 telah berlangsung pada 18 Januari 2024, bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.
Lantikan ini menyaksikan seramai 22 orang Ahli Majlis telah mengangkat sumpah di hadapan Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS.
Selamat menjalankan tugas dengan memberi khidmat bakti dengan penuh dedikasi untuk memperkasa pentadbiran dan sistem penyampaian perkhidmatan MPS

KERJA PEMBAIKAN PERJALAN KAKI
Kerja-kerja pembaikian paver pejalan kaki dan planter box sedang dilaksanakan di tapak pejalan kaki kawasan kuil Batu Caves oleh kontraktor panel.
MPS mengambil tindakan segera ke atas aduan yang telah dibuat oleh orang awam berikutan keadaan pejalan kaki yang rosak dan boleh membahayakan keselamatan orang awam yang melalui kawasan tersebut.

KERJA PEMBAIKAN PENUTUP LONGKANG YANG ROSAK
Sekitar kerja-kerja pembaikan penutup longkang yang rosak dihadapan kuil Batu Caves telah bermula pada 16 Januari 2024.
Majlis Perbandaran Selayang melaksanakan tindakan segera memandangkan penutup longkang yang rosak dan retak juga merisikokan orang awam yang melalui pejalan kaki di situ.
Dianggarkan kerja-kerja pembaikan ini akan siap pada hari Jumaat ini atau lebih awal.

PROGRAM KITAR SEMULA ANJURAN UITM PUNCAK ALAM
Unit Kitar Semula, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Kesihatan, Majlis Perbandaran Selayang telah mengadakan Program Kelestarian Alam, Kitar Semula dan Pembelian Semula Minyak Masak Terpakai "Anda Kitar Kami Bayar" pada 13 Januari 2024 bermula dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang bertempat di Surau Kampung Melayu, Kundang.
Antara aktiviti yang diadakan pada program ini adalah pembelian barangan kitar semula, latihan kebakaran bersama pihak Bomba dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Jumlah kutipan Barangan Kitar Semula yang diperolehi di dalam program ini adalah E-Weste - 2 unit, Barangan Kitar Semula 15kg dan Minyak Masak Terpakai 220kg.
Telah diadakan juga taklimat dan demonstrasi tentang kaedah membuat lilin aromaterapi daripada minyak masak terpakai dan Ecobrick telah diberikan kepada para hadirin yang hadir ke program ini.
Semoga dengan adanya program seperti ini dapat menjadi satu langkah dalam usaha memupuk sikap memelihara dan memulihara alam sekitar disetiap lapisan masyarakat.

LAWATAN MPS KE MPAJ BERKENAAN KUMPULAN INOVASI DAN KREATIF (KIK)
Seramai 30 orang kakitangan MPS yang merupakan ahli KIK telah mengadakan lawatan ke MPAJ pada 11 Januari 2024. Tujuan lawatan untuk menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman baharu dalam pembudayaan inovasi, langkah dan cabaran berkenaan Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK).
Lawatan diketuai oleh En Ahmad Fauzi Bin Ishak, Timbalan Pengarah Jabatan Korporat telah diberi penerangan tentang amalan terbaik serta kejayaan berkaitan Inovasi di MPAJ.
Penerangan ini telah diberikan oleh Puan Rosliza Binti Mohd, Pengarah Jabatan Korporat dan Teknologi Maklumat yang juga merupakan Ikon Inovasi Negeri Selangor.
Beliau telah turut berkongsi tentang pembudayaan, cabaran serta langkah pemerkasaan Inovasi di MPAJ.
Terima kasih kepada pihak MPAJ dan semoga dengan lawatan ini dapat membantu memberi aspirasi kepada MPS untuk mencapai kejayaan dalam KIK.

LAWATAN YAB PERDANA MENTERI KE SELAYANG
Pada hari ini YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berkesempatan beramah mesra sambil menikmati juadah tengah hari bersama para penduduk setempat di Gerai Sri Dahlia, Medan Selera MPS, Bandar Baru Selayang.
Pada sesi lawatan ini, YAB Perdana Menteri turut mengambil peluang menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang dan disambut baik penduduk setempat dari pelbagai peringkat umur.
Turut sama YAB Perdana Menteri, YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS, YAD Dato' Paduka Raja Tan Sri Dato' Hj. Wan Mahmood bin Pa'wan Teh, Orang Besar Daerah Gombak, Puan Nor Azlina binti Abdul Aziz, Pegawai Daerah Gombak, YB Tuan William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang, YB Puan Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor merangkap ADUN Taman Templer serta pemimpin-pemimpin tempatan yang lain.

MAJLIS BACAAN YASIN DAN DOA SELAMAT 2024
MPS telah membuka tirai 2024 dengan mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 4 Januari 2024 bertempat di Masjid Al-Amaniah, Batu Caves.
Majlis ini telah turut dihadiri YB Puan Anfaal binti Shaari EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor mewakili Dato' Menteri Besar Selangor disertai oleh pihak pengurusan MPS bersama-sama para Penyelaras DUN, ahli-ahli majlis, wakil-wakil jabatan dan agensi Gombak serta kariah masjid.
Acara telah dimulakan dengan solat Maghrib, disusuli dengan bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Abd Rahman bin Zainal Abidin, Imam Masjid Jamek Al-Amaniah. Selepas bacaan Yasin dan doa selamat, telah diadakan penyampaian sumbangan yang disempurnakan oleh YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS kepada pihak Masjid Jamek Al-Amaniah. Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan jamuan makan.

PENYAMPAIAN SURAT KENAIKAN PANGKAT DAN PELANTIKAN SEBAGAI PENGARAH
Majlis Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat dan Pelantikan Sebagai Pengarah telah diadakan pada 3 Januari 2024 bertempat di Pejabat Yang Dipertua MPS.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Pn. Suhaila binti Abdul Hamid sebagai Pengarah Perundangan dan Tn. Hj. Mohd Syukri bin Abdullah Zawawi sebagai Pengarah Bangunan berkuatkuasa pada 3 Januari 2024.
Sesi penyerahan surat pelantikan dan kenaikan pangkat ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang dengan disaksikan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan yang Dipertua MPS dan Tn. Hj. Az'har bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS.

MAJLIS CLOCK OUT MERAIKAN PERSARAAN YB DATO' SETIA HAJI HARIS BIN KASIM
Tuan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Tuan Shahman bin Jalaludin, hari ini telah menghadiri Majlis Clock Out terakhir bagi meraikan persaraan YB Dato’ Setia Haji Haris Bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Tuan YDP juga telah berkesempatan menyerahkan album gambar Momen YB Dato’ Setia bersama MPS sebagai tanda kenangan.
Seluruh warga Majlis Perbandaran Selayang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan selamat persaraan buat YB Dato’. Semoga terus dikurniakan kesihatan dan keberkatan dalam fasa kehidupan yang baharu.