Penganjuran persidangan berkaitan bidang sosial adalah usaha untuk meningkatkan perkhidmatan sosial di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Persidangan dijalankan melalui kerjasama strategik antara ISM dengan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).
Sidang Kemuncak Kerja Sosial Kebangsaan
Kerja sosial merupakan satu profesion yang memerlukan kemahiran tertentu dan perlu diaplikasi secara berkesan dalam semua pengurusan kes yang menerima perkhidmatan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ia menjadikan profesion kerja sosial sangat mencabar dan memerlukan pembangunan kompetensi secara berterusan dan dinamik. Sehubungan itu, Sidang Kemuncak Kerja Sosial Kebangsaan telah dianjurkan buat pertama kalinya pada tahun 2023 bagi mengumpulkan pekerja sosial dan pengamal sosial yang berpengalaman dalam satu platform untuk merangka dan menetapkan hala tuju pembangunan profesion kerja sosial di Malaysia.
Sidang Kemuncak Kerja Sosial yang pertama ini dengan tajuk “Meraikan Kerja Sosial di Malaysia: Menghormati Kepelbagaian Melalui Timbalan Tindakan Sosial Bersama” telah disertai oleh beberapa orang pakar dari dalam negara dan luar negara.
Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan (INSAN)
Persidangan INSAN membincangkan isu dan cabaran masa depan mengenai kelestarian insan dari sudut sains sosial dan kemanusiaan multidisiplin dalam konteks pembangunan sosial. Persidangan ini turut memberi pendedahan kepada para peserta terhadap budaya meneroka, mencintai dan menghargai ilmu melalui perkongsian maklumat pelbagai disiplin ilmu. Persidangan ini juga mewujudkan jaringan kepakaran antara ahli akademik dan profesional dalam dan luar negara.
International Social Development Conference (ISDC)
International Social Development Conference (ISDC) merupakan platform untuk meneroka isu-isu psikososial individu, keluarga dan masyarakat serta membincangkan inisiatif terkini dalam pelbagai disiplin dalam perkhidmatan sosial bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Persidangan antarabangsa ini memberi peluang kepada ahli akademik, ahli profesional dan penyelidik untuk berkongsi kajian dalam bidang kerja sosial yang telah dijalankan.